Read Time:1 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU : Sabah FC berdepan ujian apabila beberapa tonggak utama masih dibelenggu kecederaan menjelang pertembungan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas malam ini.
Tiga pemain utama, iaitu Miguel Cifuentes, Shahrol Nizam Abd Rahman dan Gabriel Peres, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Cifuentes terpaksa direhatkan kira-kira dua minggu selepas mengalami keretakan kaki ketika aksi menentang PDRM FC dalam saingan MFL Challenge Cup.
Shahrol Nizam pula masih dalam proses pemulihan, manakala Gabriel Peres belum bersedia untuk menyertai sesi latihan penuh.
Selain itu, tahap kecergasan Duje Ljubic, Kervens Belfort dan Chris Marlon Ondong Mba turut dipantau rapi oleh barisan kejurulatihan Sabah. Keputusan akhir sama ada mereka dapat beraksi akan ditentukan menjelang hari perlawanan.
Pemangku Ketua Jurulatih Sabah, Alto Linus mengakui situasi ini sedikit sebanyak menjejaskan pelan taktikal beliau menghadapi JDT.
Pada masa sama, beliau percaya barisan pemain yang ada mampu beraksi dan menampilkan persembahan terbaik di Stadium Likas.
“Kita percaya kepada pemain yang ada. Ini peluang untuk mereka tampil dan membuktikan kemampuan,” katanya.
Sabah berharap dapat meneruskan momentum layak ke separuh akhir MFL Challenge Cup dengan memburu kemenangan di Stadium Likas.
Sementara itu, Alto berkata, Sabah FC sudah bersedia memberi tentangan habis-habisan meskipun sedar reputasi Harimau Selatan selaku pasukan terbaik Liga Malaysia ketika ini.
Katanya, aksi di laman sendiri menjadi suntikan moral terbesar buat anak buahnya, tambahan pula dengan sokongan padu penyokong setia yang sentiasa memenuhi Likas.
“Kita hormati kekuatan JDT, tetapi bermain di hadapan penyokong sendiri memberi motivasi tambahan kepada pemain. Mereka lebih bersemangat dan mahu buktikan sesuatu,” katanya.






