Read Time:1 Minute, 3 Second
Oleh Ahmad Husnayan
SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing berusia 40-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam satu operasi yang dijalankan minggu lalu.
Dalam kejadian pada 21 Oktober lalu kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Balai Polis Pulau Bum Bum menahan suspek di Kampung Sri Jaya, Semporna.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim, berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu beg silang berwarna hitam bertulis New York, Los Angeles, Tokyo, London, Paris.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam beg itu menemukan satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi empat peket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 200.54 gram dengan nilai pasaran RM22,059.40,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Jaafar turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau penyalahgunaan dadah.
“Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah ini,” katanya.






