Read Time:1 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 19 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memiliki ganja dan syabu.
Hakim Elsie Primus, membuat keputusan itu terhadap Gordon Chong, 52, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah.
Bagi pertuduhan pertama, Gordon dihukum 13 tahun penjara kerana memiliki 194 gram ganja pada pukul 9.20 malam, 24 Disember 2022, di tempat letak kereta Funky Farm Food Court di Kg Kepayan, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (DDA) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) Akta yang sama, membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau dijatuhi tiga tahun penjara kerana memiliki 15.23 gram ganja di lokasi dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Gordon dihukum tiga tahun penjara lagi kerana memiliki 3.36 gram syabu di tempat dan masa yang sama.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan bermula dari tarikh tangkapannya dan tiada sebatan dikenakan kerana faktor usia tertuduh.
Pihak pendakwaan memanggil lima saksi manakala pihak pembela memanggil dua saksi sepanjang perbicaraan.
Gordon diperintahkan membela diri pada 29 Ogos tahun ini selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membina kes prima facie.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shafeerah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan. Gordon diwakili peguam Sylyester Kuan bagi pihak Datuk Nelson Wences Angang.






