Read Time:1 Minute, 15 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki Pakistan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri yang merupakan warga tempatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 44 tahun selepas memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal tterhadap anak tirinya yang berusia 11 tahun kira-kira jam 1 pagi pada 29 Dis 2022 di sebuah kampung dalam daerah Penampang.
Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Semasa rayuan, tertuduh, yang diwakili peguam Edward Paul, meminta agar mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara yang lama, kerana tertuduh ingin membuka lembaran baru dan bersatu semula dengan keluarganya di Pakistan setelah selesai menjalani hukuman.
Menurut Edward, tertuduh berasal dari Pakistan, meninggalkan keluarganya di Pakistan untuk mencari pekerjaan di Sabah. Tambahnya, tertuduh mempunyai seorang isteri dan tujuh anak di Pakistan.
“Dia menyesal dengan apa yang telah dilakukannya dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama lagi,” kata Edward.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat dengan mengambil kira mangsa adalah anak tiri tertuduh.
Fazriel berkata, kes itu melalui perbicaraan penuh sebelum sabitan, yang menunjukkan tertuduh tidak menunjukkan penyesalan yang sebenar.
Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lima saksi, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi, termasuk tertuduh sendiri.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai hukumannya.