KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM5,500 atau dua bulan penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dengan seorang penunggang motosikal.
Majistret Dzul Elmy Yunus juga memerintahkan sabitan Umas Kaling, 68, direkodkan dalam lesen memandunya.
Umas mengaku bersalah di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.
Mengikut kertas pertuduhan, Umas sebagai pemandu kereta di atas jalan raya awam telah memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah kepada penunggang motosikal.
Kejadian itu berlaku pada pada 21 Julai, jam lebih kurang 7.46 malam bertempat di Simpang Bataras Kolombong.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa penunggang motosikal dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan mengalami kecederaan serius.






