KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Usman Ali, 33, didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Februari lalu di sebuah kedai runcit di sebuah kampung dalam daerah Inanam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Usman selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, memandangkan tertuduh merupakan warga Pakistan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





