Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 118,000 premis di seluruh negeri sejak 1 Januari hingga 12 Oktober lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, pemeriksaan yang dilaksanakan itu adalah bagi memastikan pematuhan harga dan kestabilan bekalan barangan keperluan rakyat.
Katanya, emeriksaan ini melibatkan 204 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga yang aktif melakukan rondaan di pasar awam, pasar tani serta pusat membeli-belah.
“Kita bukan sahaja memantau harga, tetapi juga keberadaan bekalan untuk mengelakkan sebarang manipulasi harga atau kekurangan barang di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Shahril berkata, sehingga kini, KPDN Sabah telah merekodkan 1,438 kes pelanggaran dengan nilai kompaun melebihi RM531,000 dan sitaan barangan bernilai lebih RM29 juta.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara bagi kesalahan serius.
“Kami komited melindungi pengguna dan memastikan semua rakyat menikmati perayaan dengan tenang tanpa risau tentang harga barang,” ujarnya.
Sementara itu, sempena Deepavali 2025, KPDN juga melaksanakan Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dari 16 hingga 22 Oktober.
Walkabout itu adalah bagi memastikan harga sembilan barangan kawalan seperti daging kambing import, bawang merah, tomato dan kacang dal kekal berpatutan.
Sesi walkabout itu diwakili Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Sabah Peter J. Berinus Agang.
Orang ramai digalakkan melaporkan sebarang kenaikan harga atau ketidakpatuhan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800, atau aplikasi Ez ADU KPDN. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH