Read Time:1 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU: Lebih 10,000 rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Sambutan itu bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan rakyat Sabah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat dalam suasana penuh muhibah serta harmoni.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang meluangkan masa beramah mesra dengan para tetamu.
Turut mengiringi ialah Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan, Datuk Jafry Arifin.
Tun Musa dan Hajiji kemudiannya memimpin upacara simbolik memukul gendang sebagai tanda rasmi pembukaan rumah terbuka berkenaan, disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Sebagai tradisi sambutan Tahun Baharu Cina, Tun Musa dan Hajiji bersama tetamu kenamaan lain turut menyertai acara mengaul Yee Sang yang melambangkan doa untuk kemakmuran, kesejahteraan dan kejayaan pada tahun baharu.
Sepanjang majlis, para pengunjung dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa selain berpeluang berinteraksi secara santai dengan barisan kepimpinan negeri dalam suasana yang mesra dan terbuka.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan dan kumpulan tarian kebudayaan yang mempamerkan kepelbagaian warisan seni masyarakat Sabah, sekali gus menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian negeri ini.






