Read Time:1 Minute, 47 Second
TAWAU: Lebih 100 individu di daerah ini tampil menderma darah bagi membantu menambah bekalan darah di Tabung Darah Hospital Tawau yang berada pada tahap kritikal susulan kemalangan jalan raya melibatkan dua beradik.
Tindakan prihatin masyarakat itu berlaku selepas pihak hospital mengeluarkan notis rayuan kecemasan pada Khamis lalu berikutan dua mangsa kemalangan memerlukan pemindahan darah dalam jumlah besar.
Menurut seorang kakitangan hospital yang bertugas di Tabung Darah hospital berkenaan, seramai 120 individu telah hadir dan mendaftar selepas waktu berbuka puasa pada Jumaat untuk menderma darah.

“Masa kempen derma darah pada 5hb Mac iaitu Khamis dibuka bermula jam 5.30 petang sehingga jam 9.30 malam.
“Namun pada 6 Mac iaitu Jumaat, kaunter dibuka sehingga jam 10.45 malam dan kempen selepas pada jam 12.30 tengah malam.
“Daripada 120 individu yang mendaftar, hanya 86 orang sahaja yang layak untuk mederma,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, yang melawat mangsa dan keluarganya di Hospital Tawau berkata ramai anggota masyarakat tampil menyahut rayuan tersebut bagi membantu mangsa yang terselamat.
Mangsa yang terlibat ialah seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Merotai Kecil yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas kemalangan di Jalan Merotai–Tawau pada Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, kakaknya yang berusia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi Jumaat, manakala adiknya kini dirawat di Hospital Tawau.

“Doktor memaklumkan bahawa mangsa lelaki berusia 17 tahun itu telah berjaya menjalani pembedahan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau segera pulih,” katanya.
Menurut Liew, mangsa memerlukan darah jenis A dan orang ramai yang mempunyai jenis darah berkenaan digalakkan tampil membantu sekiranya berkemampuan.
Bagaimanapun katanya, individu yang mempunyai jenis darah lain juga digalakkan menderma bagi memastikan bekalan bank darah hospital sentiasa mencukupi untuk kes kecemasan lain.
“Saya terkejut melihat begitu ramai orang tampil membantu. Ini menunjukkan sifat prihatin dan kemurahan hati masyarakat di Tawau,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan hospital khususnya petugas unit bank darah atas dedikasi mereka mengendalikan proses pendermaan tersebut walaupun di luar waktu bekerja.
“Walaupun di luar waktu kerja, mereka tetap bekerja keras bersama-sama bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.






