KOTA KINABALU : Seramai 1,742,934 orang pengundi bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU) ke-17 esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, segala persiapan logistik telah diselesaikan sepenuhnya.
Katanya, ini termasuklah proses semakan melibatkan semua peralatan mengundi termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi serta peralatan lain.
“Proses semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi hari mengundi lengkap dan dalam keadaan baik.
“Kesemua peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Tempat Mengundi (Saluran),” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Khairul berkata, seramai 28,533 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian dan sebanyak 882 Pusat Mengundi dan 3,559 Saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian.
Katanya, pengundi turut dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi yang diwartakan,” katanya. – SABAH MEDIA






