Read Time:2 Minute, 12 Second
KUNDASANG : Keupayaan pasukan penyelamat dan kakitangan di Gunung Kinabalu dipertingkat ke tahap lebih tinggi melalui pelaksanaan latihan perubatan rimba secara berperingkat hasil kerjasama strategik pelbagai agensi.
Inisiatif itu melibatkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Taman-Taman Sabah (TTS), Wilderness and Austere Medicine Society Malaysia (WAMS), Wilderness Medicine Special Interest Group (MyCEP) serta Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada latihan praktikal pengurusan kecemasan di kawasan terpencil yang jauh daripada fasiliti perubatan, merangkumi modul seperti Wilderness Basic Life Support, Wilderness First Aid, Wilderness Advanced First Aid dan Wilderness First Responder.
Penolong Pengarah Kanan Taman Kinabalu, Justinus Guntabid, berkata peningkatan jumlah pendaki setiap tahun menjadikan latihan ini penting bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dan kakitangan taman sentiasa berada pada tahap optimum.
“Kebanyakan kecederaan melibatkan ketegangan otot, terseliuh dan patah tulang. Namun, kami juga berdepan kes serius seperti keletihan melampau, penyakit altitud tinggi, hipotermia, reaksi alahan serta serangan jantung,” jelasnya.
Beliau menambah, sistem perubatan lapangan yang tersusun bukan sahaja mempercepat proses evakuasi tetapi juga berpotensi menyelamatkan nyawa di puncak tertinggi Malaysia itu.
Menurut Doktor Perubatan Rimba WAMS Malaysia, Dr Muhamad Na’im Ab Razak, perubatan rimba memberi tumpuan kepada kecemasan yang berlaku di luar jangkauan hospital, di mana bantuan profesional mungkin mengambil masa berjam-jam untuk tiba.
“Kejayaan misi menyelamat bergantung pada penilaian pesakit, penstabilan awal serta aplikasi prinsip Rawatan Lapangan Berpanjangan,” katanya sambil menegaskan bahawa latihan ini melengkapkan peserta dengan kemahiran penting bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa di kawasan terpencil.
Sementara itu, Pengarah Program dari UMS, Profesor Madya Dr Fairrul Kadir, mendedahkan bahawa pihak universiti kini membangunkan platform telekonsultasi yang membolehkan pasukan penyelamat di Panalaban atau pos altitud tinggi berhubung terus dengan pakar perubatan kecemasan secara masa nyata.
“Melalui sistem ini, penyelamat boleh menerima panduan rawatan dan sokongan evakuasi segera daripada pakar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa data daripada Taman-Taman Sabah menunjukkan beberapa jenis kecederaan utama yang menyumbang kepada kesukaran evakuasi dan kematian, dan UMS komited untuk mencari penyelesaian berasaskan penyelidikan serta inovasi teknologi.
Pakar Perubatan Rimba UMS, Profesor Madya Dr Mohammad Hamim, pula menjelaskan projek ini turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu keputusan masa nyata dan memperkukuh komunikasi semasa misi menyelamat.
“Masa depan perubatan rimba di Malaysia bergantung pada gabungan antara pengalaman manusia dan sistem pintar — bagi memastikan keselamatan setiap nyawa,” katanya.
Kursus Wilderness Basic Life Support pertama telah dilaksanakan pada 5 November 2025 di Taman Kinabalu, melibatkan 30 peserta terdiri daripada pegawai taman, malim gunung, renjer, penyelamat air serta kakitangan sokongan.
Latihan itu merangkumi topik seperti serangan jantung di kawasan rimba, teknik bantuan hayat asas, pengurusan penyakit altitud tinggi, pencegahan hipotermia, serta rawatan kecederaan muskuloskeletal. – SABAH MEDIA






