Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Laporan polis menurun 50 peratus berbanding PRU 2020, bukti kematangan politik Sabah – Jauteh

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sebanyak 110 laporan polis telah diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berkaitan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 setakat hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan lebih 50 peratus berbanding Pilihan Raya Umum pada 2020.

“Perkembangan ini dianggap sebagai satu petunjuk jelas tahap kematangan politik, disiplin dan profesionalisme masyarakat dalam menghadapi pilihan raya di negeri ini.

“Penurunan ketara dalam jumlah laporan polis membuktikan kerjasama kukuh semua pihak dalam memastikan kempen berjalan secara aman, teratur dan terkawal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Pelepasan Bantuan Sumber Manusia Petugas di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu pagi tadi.

Jelasnya, lebih 8,000 pegawai dan anggota digerakkan pagi tadi ke seluruh daerah bagi memastikan kelancaran proses PRU DU Sabah ke-17 pada Sabtu ini.

“Pelepasan itu membabitkan pegawai dan anggota di semua daerah, manakala sebahagian lagi kekal di Kota Kinabalu dan Penampang bagi melaksanakan tugasan bantuan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.

Jauteh ketika sidang media.

Beliau turut mengingatkan semua anggota mengekalkan tahap profesionalisme, berkecuali dan berintegriti sepanjang penugasan.

Mengulas kemungkinan berlaku isu provokasi, Jauteh berkata pegawai dan anggota polis telah ditempatkan di lokasi strategik yang dikenal pasti sebagai kawasan panas.

“Walaupun kita mempunyai kehadiran polis di semua pusat pengundian, orang awam atau mana-mana pihak yang berdepan sebarang bentuk provokasi dinasihatkan segera melaporkan insiden tersebut agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Polis juga ingin mengingatkan semua pihak dan penyokong masing-masing untuk mengelakkan sebarang provokasi terhadap parti politik lain bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya,” katanya.

Jauteh berganbar bersama pegawai dan anggota sebelum bergerak ke daerah yg ditugaskan.

Sementara itu, Jauteh juga menasihatkan pengundi yang akan pulang ke kampung halaman supaya membuat persiapan awal dan rapi sebelum memulakan perjalanan.

“Kita menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di semua laluan utama bermula esok (Jumaat) kerana pengundi akan kembali ke kampung halaman. Orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Dengan tempoh kempen hampir berakhir, beliau berharap momentum positif yang ditunjukkan sepanjang tempoh kempen dapat dikekalkan sehingga dan selepas hari pengundian pada 29 November.

LEAVE A RESPONSE