KOTA KINABALU: Polis telah mengklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) berhubung satu laporan polis yang dibuat seorang individu membabitkan sebuah syarikat perlombongan di Tawau, Sabah.
Menurut surat yang dilihat Sabah Media, kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jun 2025.
Hasil kajian dan penelitian oleh Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Komersial dan Siber, Jabatan Peguam Negara, kertas siasatan tersebut kemudiannya diklasifikasikan sebagai NFA.
Sebelum ini, beberapa portal melaporkan seorang pengurus Syarikat ditahan polis bagi disiasat berhubung aktiviti perlombongan emas telah melakukan aktiviti mencurigakan melibatkan operasi perlombongan di kawasan Bukit Mantri.
Laporan itu turut mendakwa bahawa terdapat urus niaga yang berlaku selepas lesen melombong tamat tempoh, termasuk insiden pada 6 Februari 2024 apabila Jabatan Kastam Sabah menahan kira-kira 110 kilogram emas di Lapangan Terbang Tawau.
Sehubungan itu, pengadu telah memohon agar pihak polis menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan berkenaan, dan berikutan itu kes tersebut akhirnya ditutup tanpa tindakan lanjut selepas penelitian pihak pendakwaan.





