Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Ladang Nabawan catat rekod, agih hampir RM1 juta dividen kepada peneroka

Read Time:1 Minute, 20 Second

NABAWAN: Ladang Nabawan Wilayah Barat mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat agihan dividen tertinggi sejak mula beroperasi, dengan hampir RM965,342 diagihkan kepada 175 peneroka bagi tahun kewangan 2025.

Setiap peneroka menerima kira-kira RM5,516 hasil prestasi pengeluaran yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu.

Agihan itu sekali gus menjadi rekod tertinggi sejak ladang berkenaan diusahakan antara 2013 hingga 2015 melibatkan keluasan keseluruhan 441 hektar.

Pada 2025, ladang tersebut berjaya menghasilkan 5,599 tan buah, mencerminkan keberkesanan pengurusan serta komitmen berterusan semua pihak termasuk peneroka, pekerja dan penyelaras ladang.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata dividen yang diterima bukan sekadar pulangan kewangan, malah melambangkan kepercayaan dan kerjasama erat antara pengurusan dan peneroka.

“Dividen ini adalah hasil kerja keras serta komitmen semua pihak. Ia membuktikan bahawa usaha bersama mampu menghasilkan pulangan yang boleh dinikmati secara adil oleh peneroka,” katanya ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan dividen, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R Joddari, berkata kejayaan tersebut mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan ladang secara bersepadu yang dilaksanakan pihaknya.

“Kami berbangga dengan dedikasi para peneroka dan seluruh pasukan ladang. Kejayaan ini menunjukkan kerjasama erat dan perancangan tersusun mampu memberikan manfaat maksimum kepada komuniti ladang,” katanya.

Beliau turut mengakui Ladang Nabawan berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca ekstrem serta kekangan peralatan, namun pencapaian dividen hampir RM1 juta itu membuktikan ketahanan dan keupayaan semua pihak dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan pembangunan ladang.

“Dividen yang diagihkan diharap dapat membantu peneroka membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, selain meningkatkan kesejahteraan keluarga serta ekonomi komuniti setempat,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE