Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

KYS perkukuh ukhuwah Ramadan di Ranau

RANAU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) terus mempergiat usaha memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat apabila menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Zon Pantai Barat Selatan yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan keakraban.

Program yang diadakan di Masjid Al-Kauthar itu menghimpunkan barisan kepimpinan zon, pengurusan tertinggi KYS serta penduduk sekitar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan merangkap Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah Datuk Rusdin Riman.

Dalam ucapannya, beliau memuji komitmen berterusan KYS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, khususnya melalui program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang Ramadan.

Katanya, pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat secara langsung mampu merapatkan jurang antara agensi dan masyarakat.

Majlis berkenaan turut diisi dengan penyampaian sumbangan wang tunai kepada 20 penerima asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

Selain itu, pihak masjid menerima sumbangan kelengkapan bagi menyokong aktiviti keagamaan setempat.

Acara diteruskan dengan tazkirah Ramadan yang memberi pengisian rohani kepada para hadirin sebelum berbuka puasa bersama-sama.

Usai solat Maghrib dan jamuan, para tetamu menunaikan solat Isyak serta Tarawih secara berjemaah.

Penganjuran majlis ini sekali gus mencerminkan kesungguhan KYS dalam memperkasa pembangunan sosial serta memupuk semangat perpaduan dan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.

LEAVE A RESPONSE