Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

KPLB semak semula garis panduan rumah mesra SMJ

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sedang menyemak semula dan memurnikan garis panduan pelaksanaan program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan pelaksanaan program lebih telus, teratur dan memberi manfaat maksimum kepada golongan sasaran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang, berkata tindakan itu diambil selaras dengan penambahan kategori Rumah Mesra SMJ, termasuk 10 unit yang dikhususkan kepada belia.

“Sukacita saya nyatakan bahawa KPLB telah mengambil tindakan segera untuk menyemak
semula dan memurnikan Garis Panduan Pelaksanaan Program Rumah Mesra
SMJ selaras dengan penambahan kategori Rumah Mesra SMJ.

“Saya percaya pelaksanaan program ini akan menjadi lebih telus dengan adanya garis panduan baharu tersebut,” kata Rubin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sabah amat prihatin terhadap dengan kebajikan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar yang masih memerlukan tempat berteduh, tinggal di rumah usang, golongan miskin dan B40, mangsa bencana alam, orang kurang upaya (OKU), serta individu yang berdaftar dengan eKasih.

Program Rumah Mesra SMJ diteruskan pada tahun 2026 dengan penambahan 10 unit bagi setiap DUN, menjadikan sebanyak 50 unit rumah akan dibina di setiap kawasan DUN.

“Langkah ini dijangka memberi sinar harapan kepada pasangan muda yang baharu mendirikan rumah tangga,” katanya.

Rubin turut menegaskan bahawa peruntukan program SMJ dikhususkan untuk pembinaan rumah baharu sahaja, manakala program membaik pulih rumah-rumah daif disediakan melalui agensi lain, termasuk Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan GIATMARA.

“Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) akan menyediakan kemudahan tersebut pada tahun 2026,” katanya.

Rubin berkata kementeriannya sedia maklum bahawa isu tanah adalah kekangan utama dalam pelaksanaan Rumah Mesra SMJ.

“Kementerian saya sentiasa berhati-hati dalam aspek ini bagi mengelakkan risiko pertikaian perundangan di masa hadapan. Penelitian menyeluruh dari segi skop kerja, kemampuan prasarana sedia ada, pematuhan peraturan pembinaan bangunan, termasuk faktor harga tanah yang tinggi di kawasan bandar juga perlu diambil kira,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Rubin berkata kementerian terus fokus kepada usaha menambah pendapatan isi rumah rakyat termiskin/B40 melalui Program Pemerkasaan Produk Desa dan Pembangunan Kemahiran Daerah.

Tumpuan khusus akan diberi kepada kemahiran asas penghasilan, tambah nilai, kebolehpasaran dan rantaian pasaran (supply chain) produk berasaskan kebolehan dan sumber tersedia di persekitaran komuniti berkenaan.

“KPLB, di bawah kepimpinan saya, akan terus melaksanakan pengukuhan tata kelola Kementerian untuk memastikan KPLB berwajah baharu dan menjadi jentera yang lebih berkesan dalam usaha membasmi kemiskinan di negeri ini,” katanya.

LEAVE A RESPONSE