Read Time:1 Minute, 26 Second
Oleh Rhea Dharmin
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan ketirisan subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) melibatkan stesen minyak.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan mana-mana pihak yang memanipulasi sistem subsidi itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya bersama Kementerian Kewangan (MOF) memiliki ‘real time system’ bagi tujuan pemantauan sistem itu.
Namun pada masa sama, beliau menegaskan KPDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya mendapat terdapat pihak melakukan perkara terbabit.
“Kalau kita melihat ada unsur-unsur meragukan, maka kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Sebab kita buat penyasaran subsidi ini sama ada diesel ataupun petrol, fokus utama yang saya sebutkan bukan untuk mengurangkan subsidi rakyat tapi untuk mengekang ketirisan.
“Jadi kalau ada mana-mana pihak yangmeneruskan tindakan mengambil kesempatan daripada penyaluran subsidi kepada rakyat ini, kita akan mengambil tindakan cukup tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Menandatangani MoU Bagi Pembangunan Pawagam Komuniti 10 Star Cinemas Bersama WSG Properties dan WK Konsortium bertempat di Palm Mall Kinarut, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan turut berkata Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas dalam memerangi pihak yang memanipulasi barangan subsidi untuk rakyat.
Semalam, dilaporkan Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2026 memaklumkan kerajaan berjaya mengutip RM15.5 bilion dalam tempoh 2024 dan 2025 dimana ia merupakan hasil daripada tindakan rampasan dan kutipan penalti pihak berkuasa negara.
“Dalam tempoh dua tahun, bayangkan betapa besarnya kartel sindiket yang telah memanipulasi keadaan untuk mendapat keuntungan dengan mengelak daripada membayar cukai.
“Ini antara komitmen tentang tata kelola dan ketegasan Kerajaan Madani pada hari ini,” katanya.