Read Time:1 Minute, 38 Second
KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok yang menaikkan kadar tambang perjalanan antara Menumbok dan Labuan sebanyak RM3 sehala, berkuat kuasa 1 November lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata siasatan itu dijalankan susulan aduan yang diterima daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, mengenai kenaikan tambang yang dikhuatiri membebankan pengguna tetap laluan berkenaan.
Menurut beliau, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah diarahkan untuk memulakan siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi menilai sama ada kenaikan harga itu hasil daripada amalan anti-persaingan atau pakatan kartel.
“Sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga atau tambang melalui pakatan, sama ada melalui persatuan atau tidak, merupakan pelakuan kartel yang serius.
KPDN tidak akan berkompromi terhadap perlakuan sabotaj ekonomi seperti ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Armizan menambah, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat bukti wujudnya amalan kartel, dengan penalti kewangan yang boleh mencecah sehingga 10 peratus daripada kutipan hasil syarikat.
Beliau turut menegaskan bahawa KPDN melalui MyCC pernah mengenakan penalti kewangan RM687.9 juta terhadap 270 syarikat, termasuk lima syarikat feri RORO di Langkawi yang dikenakan denda sebanyak RM2.2 juta kerana terbabit dalam amalan monopoli.
Selain itu, Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS) KPDN kini sedang berhubung dengan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan bagi menentukan status perlesenan dan pendaftaran para pengusaha terbabit.
“Pengusaha bot berdaftar layak dipertimbangkan subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS). Oleh itu, tidak wajar mereka menaikkan tambang dengan alasan kenaikan kos bahan api,” katanya.
Katanya, KPDN memandang serius tindakan menaikkan harga tambang tersebut kerana ia memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat, khususnya penduduk dan pekerja yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan laut itu setiap hari.
“Kami kekal komited memastikan pasaran kekal kompetitif, sihat dan telus demi kesejahteraan pengguna serta kestabilan ekonomi negara,” jelas beliau. – SABAH MEDIA






