LABUAN : Seorang pengusaha restoran di Labuan dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas menerima aduan yang diterima melalui portal e-Aduan KPDN.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan kompaun tersebut diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi pertubuhan perbadanan pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
“Akta 723 ini penting bagi memastikan peniaga memaparkan harga barang dan perkhidmatan yang lengkap termasuk cukai kerajaan serta cukai-cukai lain yang dikenakan.
“Akta ini juga berperanan melindungi pengguna daripada penipuan harga dan caj tidak munasabah oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan di sini.
Junaidah berkata, akta ini juga mewajibkan peniaga memaparkan harga barang atau caj bagi perkhidmatan dalam ringgit atau sen.
Menurutnya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan rutin di beberapa premis perniagaan tetap dan pasar raya sekitar Labuan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan barangan mencukupi serta dijual pada harga berpatutan.
Aduan atau maklumat berkaitan boleh disalurkan secara rasmi kepada KPDN untuk tindakan lanjut melalui saluran yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN






