Read Time:1 Minute, 13 Second
LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengenakan kompaun terhadap dua peniaga dalam satu pemeriksaan yang dijalankan di bawah Ops Pantau di sini pada Isnin.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang peniaga telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] kerana gagal meletakkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan.
“Sementara itu, seorang lagi peniaga pusat kecantikan dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] kerana menggunakan alat perakam masa yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

“Peniaga diingatkan supaya mematuhi keperluan mempamerkan tanda harga bagi barangan serta memaparkan caj perkhidmatan dengan jelas kepada pengguna selaras dengan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Junaidah berkata, pihaknya menegaskan bahawa setiap alat timbang atau sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan hendaklah ditentusahkan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Beliau berkata, keperluan ini turut meliputi perkhidmatan yang diukur menggunakan alat perakam masa seperti tempat letak kenderaan bermeter, perkhidmatan kecantikan berasaskan masa dan lain-lain perkhidmatan yang menggunakan kaedah pengukuran masa bag tujuan perdagangan.
“KPDN Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya.





