Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

KPDN Labuan keluarkan notis bakeri gagal patuh peraturan pelebelan

Read Time:1 Minute, 25 Second

LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengeluarkan satu notis kompaun terhadap sebuah premis bakeri di sini selepas didapati gagal mematuhi peraturan pelebelan produk makanan.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata, notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dijalankan bersama pegawai daripada Jabatan Penerangan WP Labuan, di sini pada Khamis.

Katanya, notis kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] atas kesalahan gagal mematuhi peraturan penandaan butir-butir barang tersedia bungkus sebagaimana yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga (Pelebelan oleh Pengilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.

“Antara pelebelan yang diwajibkan di bawah perintah tersebut termasuklah nama dan alamat pengilang, pengimport atau pengeluar dan butiran kuantiti bersih barang (berat, isipadu atau bilangan).

“Selain itu, tarikh luput atau tempoh guna sebelum; senarai bahan ramuan (bagi produk makanan); dan harga jualan yang jelas dan mudah dilihat oleh pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi kehendak pelebelan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], di mana jika disabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala bagi individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Junaidah berkata, pihaknya turut menjalankan naziran permohonan lesen barang kawalan berjadual (CSA) ke atas beberapa peruncit di sekitar Labuan.

Katanya, lesen CSA diperlukan bagi membolehkan peruncit mendapatkan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum dan gas petroleum cecair (LPG) daripada pemborong berlesen untuk dijual semula kepada pengguna akhir secara sah.

Menururnya, pihak KPDN WP Labuan akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta perlindungan kepentingan pengguna di pulau ini. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

LEAVE A RESPONSE