Read Time:1 Minute, 45 Second
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menandatangani surat hasrat (LOU) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam membanteras amalan kartel, khususnya tipuan bida dalam perolehan awam.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerjasama itu selaras dengan fokus kerajaan sejak 2024 untuk membendung amalan kartel di bawah Akta Persaingan 2010, yang merangkumi empat bentuk utama iaitu pakatan harga, pakatan pasaran, pakatan pengeluaran dan tipuan bida.
Beliau berkata walaupun proses tender terbuka dilaksanakan bagi memastikan ketelusan, kewujudan kartel atau bid rigging boleh menjejaskan tujuan sebenar perolehan tersebut.
“Kerajaan memberi penekanan kepada tata kelola awam yang telus. Namun jika wujud unsur kartel dalam tender terbuka, ia akan menjejaskan integriti keputusan dan bertentangan dengan objektif pelaksanaan tender itu sendiri,” katanya pada majlis menandatangani LOU hari ini.
Menurut Armizan, LOU bersama KBS merupakan yang keenam dimeterai MyCC selepas kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, MITI, MOSTI serta Jabatan Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata kerjasama tersebut merangkumi tiga skop utama iaitu penyediaan laporan berkaitan unsur kartel dalam perolehan awam, latihan kepada pegawai yang mengendalikan perolehan serta khidmat nasihat bagi mengenal pasti risiko tipuan bida.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan kerajaan sedang memuktamadkan pindaan Akta Persaingan sebagai sebahagian pendekatan “whole of nation approach”, termasuk cadangan memperkenalkan perlindungan dan ganjaran kepada pemberi maklumat.
Katanya, langkah itu perlu kerana Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 hanya meliputi kes jenayah atau tatatertib, sedangkan kes persaingan adalah bersifat sivil.
“Blue bill kini di peringkat akhir, telah mendapat kelulusan dasar Kabinet dan semakan Jabatan Peguam Negara. Ia dijangka dibentangkan ke Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen pada sidang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan menyambut baik kerjasama tersebut bagi memperkukuh tadbir urus perolehan kementerian yang melibatkan kira-kira 50 tender dan sekurang-kurangnya 300 sebut harga terus.
KBS berkata usaha membanteras kartel penting bagi mengelakkan ketirisan serta projek bermasalah yang boleh menjejaskan pembangunan belia dan sukan negara.
Kerjasama antara KPDN, MyCC dan KBS itu dilihat sebagai sebahagian usaha menyeluruh kerajaan MADANI dalam meningkatkan integriti perolehan awam serta memastikan persaingan pasaran yang lebih adil.





