Read Time:1 Minute, 18 Second
TAWAU: Kerajaan MADANI memperuntukkan RM300 juta bagi pelaksanaan inisiatif Payung RAHMAH seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, sekali gus memperkukuh usaha meringankan kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara inisiatif utama di bawah peruntukan itu ialah penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara.
Menurutnya, KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuk menambah baik kaedah pelaksanaan serta memperluas golongan sasar selaras dengan keperluan semasa rakyat.
“Bersempena persediaan sesi persekolahan baharu 2026, KPDN akan memperluas pelaksanaan PJRM melalui penganjuran PJRM Kembali Ke Sekolah 2026 bagi membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, program berkenaan dijadualkan berlangsung dari 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, merangkumi keseluruhan tempoh cuti persekolahan.
Sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat dalam pelaksanaan program itu sama ada secara dalam premis atau luar premis.
Menerusi program berkenaan, pengguna berpeluang mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Antara 45 hingga 80 unit simpanan stok (SKU) ditawarkan, meliputi pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah serta kelengkapan alat tulis.
Dalam tempoh penganjuran itu, sebanyak 269 siri PJRM Kembali Ke Sekolah disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang KPDN https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk tarikh dan lokasi penganjuran PJRM Kembali Ke Sekolah 2026.






