Read Time:1 Minute, 22 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Koperasi Pembangunan Desa (KPD) mencatat prestasi jualan yang membanggakan bagi tahun ini apabila jumlah jualan setakat November mencapai RM99.9 juta, melepasi sasaran tahunan dan meningkat berbanding RM98 juta yang dicapai pada tahun lalu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, pencapaian itu menunjukkan bahawa sektor pertanian boleh memberikan keuntungan yang signifikan sekiranya diuruskan secara sistematik dan cekap.
“Sasaran jualan untuk tahun depan adalah RM100 juta, dan berdasarkan prestasi setakat ini, kami yakin KPD mampu mencapai sasaran tersebut.
“Ini juga memberi petunjuk kepada masyarakat bahawa bidang pertanian merupakan satu bidang perniagaan yang berdaya maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pasar harian serta merasmikan Sunset Deck, KPD di sini pada Selasa.
Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam.
Jamawi berkata, sepanjang tahun ini, KPD telah menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Kerajaan Negeri yang merupakan satu sumbangan yang konsisten diberikan sejak tahun 2019.
Selain itu, beliau turut memuji pengurusan KPD yang cekap, termasuk 10 pusat pengumpulan hasil pertanian yang memberi impak positif kepada pengusaha, pemborong, dan masyarakat tempatan.
Beliau menekankan bahawa langkah promosi melalui media sosial dan aktiviti turun padang membantu meningkatkan jualan serta menarik lebih ramai pembeli borong.
“KPD telah menonjolkan keberkesanan pengurusan hasil pertanian dan penglibatan komuniti, sekali gus membuktikan bahawa usaha yang sistematik dapat meningkatkan keuntungan serta menyokong ekonomi tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya turut merancang beberapa inisiatif baharu pada 2026, termasuk projek Kebun Dapur, yang akan menggalakkan masyarakat kampung menanam hasil pertanian untuk keperluan sendiri dan memasarkan lebihan hasil ke pusat-pusat pengumpulan KPD, sekali gus memperkukuhkan rantaian ekonomi komuniti. – SABAH MEDIA






