Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU : Kontinjen Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 selepas menamatkan temasya dengan kutipan pingat tertinggi sekali gus mengekalkan dominasi mereka sebagai kuasa utama sukan di negeri ini.
Berdasarkan kedudukan akhir, Kota Kinabalu mengungguli kedudukan teratas dengan 283 pingat emas, diikuti Papar tempat kedua dengan 209 pingat emas, manakala Sandakan tempat ketiga dengan 191 emas.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah ialah Datuk Mansur Asun, yang mewakili Menterinya, Datuk Ellron Angin.
Turut mencatat prestasi membanggakan ialah Keningau (181 emas), Tawau (161 emas) dan Tuaran (143 emas) yang mengekalkan kedudukan dalam kelompok enam terbaik.
Antara daerah lain yang menonjol termasuk Lahad Datu (128 emas), Penampang (110 emas), dan Ranau (92 emas) yang memperlihatkan peningkatan berbanding edisi terdahulu.
Secara keseluruhan, sebanyak 30 daerah di Sabah mengambil bahagian dalam temasya dwi-tahunan itu, yang bertujuan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi serta memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan belia negeri.
SAGA XI yang berlangsung di daerah ini bermula 11 hingga 17 Oktober ini dengan penyertaan lebih 6,000 atlet dan pegawai dari seluruh negeri. – SABAH MEDIA