Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Kota Kinabalu catat 1,347 kes jenayah komersil  bagi tempoh Jan -Dis 2025

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kota Kinabalu telah membuka 1,347 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, membabitkan kerugian berjumlah RM119.8 juta. Daripada jumlah itu, 959 kes melibatkan penipuan atas talian dengan kerugian RM63.2 juta.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bagi tempoh 1 hingga 31 Januari 2026, polis telah membuka 144 kertas siasatan membabitkan kerugian RM10.5 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, 107 kes adalah penipuan atas talian yang menyebabkan kerugian RM9.4 juta.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam bulan Januari 2026, polis telah melakukan serbuan terhadap premis yang disyaki menjalankan kegiatan calling centre penipuan atas talian, dengan 20 orang ditangkap melibatkan warga tempatan dan warga asing.

“Satu lagi serbuan menahan tujuh orang tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket membeli kad ATM daripada orang awam, yang digunakan sebagai akaun keldai.

“Kedua-dua kes telah selesai siasatan dan suspek telah dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah Kasim, selain orang awam, akaun keldai juga membabitkan pelajar. Justeru beliau menyeru masyarakat supaya sentiasa cakna dengan taktik jenayah terkini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan digalakkan menghubungi pihak polis untuk mendapatkan nasihat.

“Saya menyeru agar masyarakat tidak meminjamkan atau menyewakan kad ATM kepada sesiapa, kerana boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 424A atau 424B Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum dengan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak kurang setahun,” tegasnya.

LEAVE A RESPONSE