Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Konvokesyen UMS ditunda ke 30 November, beri laluan PRN Sabah

Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PUTATAN : Istiadat konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 yang dijadual diadakan pada 29 November ditunda kepada 30 November susulan penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari yang sama.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah bertanggungjawab bagi memberi ruang para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kita telah menetapkan 29 November sebagai hari pertama konvokesyen tanpa mengetahui bahawa SPR juga memilih tarikh yang sama untuk hari mengundi.

“Dari segi undang-undang dan moral, kita tidak boleh meneruskan program yang boleh menafikan hak mereka untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Putatan di sini pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata, keputusan menunda sehari itu juga mengambil kira situasi ramai graduan dan keluarga yang datang dari luar daerah, termasuk Sandakan dan Tawau, yang memerlukan masa untuk bergerak selepas selesai mengundi.

“Kami memahami ramai keluarga sudah merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal.

“Jadi penundaan satu hari ini adalah kompromi terbaik bagi memberi peluang mereka mengundi dan tetap hadir ke majlis konvokesyen,” katanya.

Pada Jumaat, UMS memaklumkan, Majllis Konvokesyen UMS ke-27 yang dijadualkan berlangsung pada 29 November 2025 akan ditunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Penangguhan itu dibuat susulan pengumuman rasmi SPR berhubung PRN Sabah ke-17 yang turut dijadualkan pada tarikh sama.

Keputusan tersebut diambil bagi menghormati dan memberi ruang kepada seluruh warga universiti, graduan serta masyarakat umum untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE