Read Time:1 Minute, 14 Second
KOTA KINABALU: Bersempena Ramadan, Maxim Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah menganjurkan konvoi komuniti ke Masjid Al-A’laa, Kampung Lokub bagi menyampaikan sumbangan iftar kepada penduduk setempat.
Seramai 18 peserta terdiri daripada kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyertai konvoi bagi mengagihkan 100 pek iftar kepada jemaah masjid.
Pengarah Maxim E-Hailing Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata program berkenaan merupakan sebahagian usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang dilaksanakan di beberapa lokasi di seluruh negara, dengan fokus kepada inisiatif yang memberikan impak yang bermakna dan berpanjangan.
“Kami berharap inisiatif ini memberikan manfaat dan keberkatan yang sebenar kepada seluruh komuniti. Maxim menantikan peluang untuk meneruskan kerjasama sebegini pada masa hadapan, selaras dengan sokongan terhadap kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan hubungan antara semua pihak,” katanya.
Beliau berkata program yang bermula sebagai usaha kecil itu telah berkembang menjadi aktiviti tahunan terancang, selain menghubungkan sektor ekonomi gig, institusi akademik dan komuniti setempat melalui pendekatan sukarelawan.
Maxim Malaysia turut merancang untuk memperluas program CSR bersama institusi pendidikan, organisasi keagamaan dan komuniti tempatan di seluruh negara.
“Inisiatif ini membuktikan kekuatan kolaborasi dalam membawa manfaat sebenar kepada masyarakat dan memupuk budaya memberi,” tambahnya.
Sementara itu, Rektor UiTM Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita Mohamed, berkata kerjasama tersebut mencerminkan perkongsian strategik antara institusi pendidikan dan industri dalam menjayakan program kemasyarakatan.
“Kami percaya ini menandakan permulaan yang penting, bukan sahaja sebagai pelanggan Maxim dan rakan sinergi strategik yang dihargai, tetapi juga sebagai kolaborator yang komited dalam inisiatif komuniti yang bermakna dan berimpak tinggi,” katanya.







