Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Konsep Kebun Dapur dijangka dilancar awal tahun depan

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA BELUD: Konsep Kebun Dapur yang diperkenalkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah dijangka dilancarkan pada awal tahun depan sebagai pendekatan utama bagi memperluas penglibatan masyarakat luar bandar dalam aktiviti pertanian berskala kecil.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada penduduk kampung untuk bercucuk tanam di kawasan rumah sendiri dengan kos yang rendah, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan harian rakyat.

Menurut beliau, konsep Kebun Dapur dirangka sebagai wadah praktikal untuk menyentuh seramai mungkin masyarakat, khususnya golongan petani, pekebun kecil, nelayan serta usahawan desa yang kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian.

Katanya, perbincangan bersama Setiausaha Tetap kementerian sedang dilakukan bagi memperhalusi pelaksanaan konsep berkenaan supaya ia dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

“Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi, konsep Kebun Dapur ini dapat dilancarkan pada awal tahun depan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program PMD dan Mini Karnival Usahawan Desa di Dewan Terbuka Datuk Haji Musbah Haji Jamli, hari ini.

Jamawi berkata, sejak hari pertama beliau melapor diri sebagai menteri, azam utamanya adalah untuk membantu komuniti luar bandar dan mengangkat martabat serta kesejahteraan masyarakat kampung yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang hadir dalam majlis berkenaan dan bertemu secara langsung dengan para usahawan desa yang disifatkan mempunyai semangat serta keinginan tinggi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada dua agensi pertanian negeri, iaitu Lembaga Industri Getah Sabah dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, atas inisiatif mereka terlibat secara aktif dalam pembangunan usahawan luar bandar.

Jamawi berkata, para peserta program bukan sahaja menerima bantuan peralatan bernilai sehingga RM6,000, malah turut diberikan sokongan berterusan termasuk bimbingan pemasaran produk secara lebih teratur dan berkesan, termasuk melalui pendekatan digital.

Beliau berkata, latar belakangnya sebagai seorang petani dan pekebun membolehkannya memahami secara mendalam susah payah, cabaran serta keperluan masyarakat kampung, sama ada sebagai petani, penjaja, nelayan, peruncit mahupun penternak.

Pengalaman itu katanya, akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha membangunkan komuniti luar bandar, khususnya yang melibatkan sektor pertanian, demi meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat.

Dalam pada itu, Jamawi berharap kerjasama berterusan antara agensi berkaitan serta pihak profesional dapat terus diperkukuh bagi memacu pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk kementerian, agensi pelaksana serta Jawatankuasa Pelaksana atas kejayaan menganjurkan Program PMD dan Mini Karnival Usahawan Desa.

LEAVE A RESPONSE