Read Time:2 Minute, 53 Second
Oleh Normimie Diun
TAWAU: Hubungan antara komuniti setempat dan industri perlombongan emas di kawasan Balung dan Andrassy terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus membuka peluang kerjasama lebih luas kepada penduduk tempatan.

Inisiatif terbaharu ialah penganjuran majlis iftar menerusi Program Kasih Ramadan 2026 oleh AuMas Resources Berhad di Masjid Sri Ranggu, Kampung Andrassy pada 14 Mac lalu, yang turut dihadiri pemimpin komuniti serta wakil syarikat.

Antara yang hadir ialah Ketua Kampung Andrassy, Wellin @ Wilson; wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Dahu Tass dan Napasit Bunidu; Ketua Kampung Ranggu, Zaini Abidin; Pengerusi Masjid Ranggu, Abd Rahman Kadir; serta Presiden Persatuan Cocos Sabah, Haji Alipa Jackery.
Syarikat berkenaan diwakili Pengarah Eksekutifnya, Dr Frederick Chong; Pengurus Besar, Adji Prihananto (Pak Adji); Pengurus Sumber Manusia, Dayang Huzairah Raja @ Dt Ladz; ahli geologi kanan, Mislan dan Aziz; serta pegawai pentadbiran, Aicha Salinri.
Haji Alipa berkata, penglibatan beliau dalam program CSR yang dilaksanakan oleh Wullersdorf Resources Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh AuMas Resources Berhad, bermula kira-kira tiga tahun lalu selepas diperkenalkan kepada pengurusan syarikat.
Menurutnya, sebelum itu komuniti kampung khususnya di Balung mempunyai kefahaman terhad mengenai perkembangan sebenar aktiviti perlombongan walaupun berada berhampiran pintu masuk kawasan operasi.
“Pada peringkat awal, masyarakat setempat tidak mengetahui secara jelas apa yang berlaku dalam kawasan perlombongan. Namun selepas diberi peluang melawat tapak dan berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan, persepsi itu mula berubah,” katanya ketika ditemui Sabah Media.
Beliau berkata, hubungan tersebut mula diperkukuh apabila syarikat menyokong penganjuran program iftar Ramadan oleh Persatuan Etnik Cocos Sabah.
Katanya, program tahunan itu memberi manfaat kepada golongan asnaf, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Balung yang majoritinya merupakan komuniti lama sejak sekitar 1948.
“Kerjasama itu kemudian diperluas melalui penganjuran Program Kem Perubatan yang menyediakan saringan kesihatan kepada penduduk dengan penglibatan petugas perubatan dari dalam dan luar daerah.
“Program ini turut merangkumi bantuan keperluan asas serta saringan khusus seperti kesihatan mata, sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan syarikat yang memberi penjelasan terbuka mengenai operasi perlombongan kepada pemimpin komuniti berjaya meningkatkan tahap kefahaman masyarakat.
“Apabila penerangan disampaikan secara langsung oleh pihak pengurusan dan pakar, ia membantu mengurangkan salah faham serta persepsi negatif terhadap industri itu,” katanya.

Dalam Program Kasih Ramadan 2026 itu, syarikat yang diwakili Dr Frederick Chong turut menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM5,000 bagi menyokong pembinaan bilik musafir di Masjid Sri Ranggu.
Menurut Dr Frederick, sumbangan itu dijangka meningkatkan kemudahan kepada para musafir dan jemaah yang singgah menunaikan ibadah di masjid berkenaan.
Mengulas lanjut, Haji Alipa yang juga anak jati Balung berkata, beliau melihat potensi besar dalam pembangunan ekonomi tempatan khususnya dalam bidang keusahawanan dan pertanian moden.
Katanya, operasi perlombongan emas yang menggaji kira-kira 450 pekerja turut membuka peluang kepada penduduk tempatan dari segi pekerjaan serta perniagaan sokongan seperti pembekalan makanan dan runcit.
Sementara itu, Pak Adji berkata syarikat komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat seiring perkembangan operasi perlombongan di Bukit Mantri.
Beliau berkata, selepas tujuh tahun beroperasi berhampiran Kampung Balung, pihak pengurusan kini giat memperluas penyertaan komuniti khususnya dalam aspek sumber manusia, pembangunan rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan.
“Usaha ini turut membuka peluang kepada kontraktor tempatan mengurus kemudahan seperti kantin, kedai runcit dan pasar mini bagi memenuhi keperluan kira-kira 450 pekerja di kawasan operasi,” katanya.






