Read Time:1 Minute, 0 Second
KOTA KINABALU : Penganjuran KKN24 Social League 2026 dilihat sebagai satu inisiatif baharu yang memberi penekanan kepada pembangunan belia melalui sukan, khususnya bola sepak, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, liga sosial seperti itu bukan sekadar platform untuk mengejar kemenangan atau ganjaran berbentuk wang, sebaliknya menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Beliau berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk menyatukan golongan belia, membina semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat.
“Kemenangan dalam pertandingan hanyalah bonus, sebaliknya nilai sebenar terletak pada perpaduan dan kebersamaan yang terjalin sepanjang penganjuran liga tersebut,” katanya.
Liga sosial ini akan berlangsung selama empat bulan dengan penyertaan sebanyak lapan pasukan, Johan akan menerima sebuah piala dan pingat, manakala naib johan serta tempat ketiga masing-masing akan menerima pingat.
Dalam masa sama, Shah Alfie yang juga wakil rakyat muda komited untuk terus menyokong lebih banyak program berteraskan pembangunan belia pada masa akan datang, selari dengan usaha melahirkan generasi yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.
Tambahnya lagi, sambutan menggalakkan yang diterima bagi edisi pertama KKN24 Social League 2026 memberi isyarat positif untuk penganjuran diteruskan sebagai platform tahunan bagi komuniti setempat.






