Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kita kehilangan sebutir bintang di langit perjuangan di Sabah – Arifin


Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai seorang pemimpin berani, cemerlang dan menjadi guru kepada ramai pejuang generasi baharu.

Arifin berkata, pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dianggap antara bintang paling bersinar dalam dunia perjuangan negeri itu.

Beliau berkata, pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu meninggalkan kekosongan besar dalam arena politik negeri dan nasional, khususnya bagi mereka yang pernah bekerjasama serta berguru dengan beliau.

“Kita kehilangan sebutir bintang di langit perjuangan di negeri Sabah. Iaitu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, seorang tokoh yang berani, seorang tokoh yang cemerlang dalam kepimpinannya dan beliau juga adalah guru kepada perjuangan kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberi penghormatan terakhir dan solat jenazah kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.

Hadir memberi penghormatan terakhir Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Arifin turut menzahirkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta segala jasa yang disumbangkan sepanjang hayatnya diberkati.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dari peringkat kawasan, negeri hingga ke peringkat kebangsaan memberikan kesan besar kepada pembangunan politik serta masyarakat Sabah.

“Mudah-mudahan Allah memberkati roh beliau dan semua amal bakti yang telah dicurahkan oleh beliau… Dan setiap perjuangan beliau akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT,” tambahnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE