Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Kita berjaya letakkan Sabah di landasan tepat – Hajiji Noor

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sabah atas mandat untuk Kerajaan ini terus memerintah bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-17 lalu dan meletakkan Sabah dalam situasi yang sangat baik.

Katanya, Kerajaan kini jauh lebih baik berbanding semasa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambilalih kuasa lima tahun lalu.

“Kita telah berjaya meletakkan Sabah pada landasan yang tepat; kukuhkan kestabilan dan mantapkan pentadbiran. Kita kukuhkan ekonomi dan pertingkatkan kesejahteraan rakyat. 

“Sabah kini bersiapsiaga untuk terus mara ke hadapan dan bersedia untuk mengecapi kemajuan dan pembangunan yang berterusan.

“Dan keberadaan Sabah pada landasan yang tepat ini menuntut pihak Kerajaan untuk memperketatkan pemantauan, bagi memastikan keberkesanan pentadbiran,” katanya.

“Saya percaya, dengan kerjasama padu antara kepimpinan negeri dengan anggota penjawat awam, kita pasti mampu dan berupaya mengekalkan momentum kejayaan seperti yang telah kita capai lima tahun yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat kepada Pejawat Awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

Hajiji berkata perkembangan politik negeri mutakhir ini telah memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Negeri sehingga mencapai penguasaan dua pertiga kerusi DUN, sekali gus menjamin kestabilan politik yang amat penting bagi kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka panjang.

Katanya, kestabilan itu juga membuka ruang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penggubalan serta meminda perlembagaan negeri selaras dengan keperluan semasa, katanya.

“Ini termasuklah cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, penambahan beberapa anggota kabinet negeri bagi menepati keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, selain penjenamaan semula jawatan Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri agar lebih relevan dan selari dengan amalan pentadbiran semasa, katanya,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan negeri pada hari ini akan memastikan jentera pentadbiran terus diperkukuh dan diperhebatkan agar lebih responsif, cekap dan berkesan.

“Untuk itu, penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk GLCs sedang kita lakukan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan, serta prestasi dalam setiap entiti kerajaan ini, benar-benar efisien dan berkesan, lebih penting, tidak merugikan rakyat dan kerajaan.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan kerajaan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh hubungan serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan secara berterusan dan konstruktif, demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE