Read Time:1 Minute, 36 Second
KOTA KINABALU: Kampung Sembulan menerima peruntukan RM663,000 bagi kerja baik pulih dan penambahbaikan kemudahan komuniti menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan KAM Kampung Sembulan merangkumi projek fizikal dan bukan fizikal ymbulaang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
“Projek yang dilaksanakan melibatkan kerja menurap semua jalan kampung, baik pulih gelanggang sukan, pemasangan lampu termasuk lampu solar serta menaik taraf dewan serbaguna Kampung Sembulan bagi kegunaan masyarakat setempat.
“Kesemua projek ini bermula pada 22 September 2025 dan siap sepenuhnya pada 2 November, sekali gus memberi kesan segera kepada keselesaan dan keselamatan penduduk, khususnya pada waktu malam serta semasa aktiviti komuniti,” katanya ketika merasmikan Majlis Semarak MADANI di Dewan Pride, SMK Sanzac, pada Ahad.

Menurut beliau, manfaat program KAM turut diperluas kepada sektor pendidikan dengan SMK Sanzac dan SK Sembulan menerima peruntukan tambahan RM36,000 untuk menaik taraf prasarana pembelajaran.
“Pelaburan dalam kemudahan sekolah ini penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar,” ujarnya.
Wan Ahmad juga memaklumkan projek bukan fizikal di bawah KAM Kg Sembulan melibatkan aspek kebajikan dan pembangunan sosial komuniti melalui Program Ziarah Kasih MADANI yang menyantuni 150 golongan asnaf dan 10 pesara kerajaan.
“Penganjuran Sukan Belia MADANI pula melibatkan lebih 500 belia berjaya menggalakkan gaya hidup sihat serta mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Kampung Sembulan adalah antara 43 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara di bawah inisiatif nasional yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Negeri Sabah, Datuk Zainuddin Aman; Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin. – Penerangan






