Read Time:1 Minute, 37 Second
RANAU: Keadaan politik yang tidak stabil akibat pertukaran kerajaan secara kerap boleh menjejaskan pelaksanaan pembangunan yang telah dirancang dan dimulakan lebih awal, kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, sebelum Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, banyak masa digunakan untuk menguruskan hal politik berbanding melaksanakan agenda pembangunan.
“Banyak masa dibuang untuk mengurus politik kerana keadaan tidak stabil. Kerajaan saling bertukar ganti. Bila ini berlaku, kerja kita hanyalah berpolitik untuk memastikan kita menang dan bukan kalah.
“Seperti dalam permainan bola sepak, bila kita takut kalah, kita asyik bertahan. Tapi bila kita kuat dan bersatu, kita tidak takut menghadapi pasukan lawan, malah mempunyai banyak masa untuk bekerjasama dan menyumbat gol ke gawang lawan,” katanya.
Masidi menegaskan, kestabilan politik memberi ruang kepada pemimpin untuk menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
“Apabila kurang masa dihabiskan untuk berpolitik, lebih banyak masa boleh digunakan untuk membangunkan negeri ini. Sebarang kelemahan dalam kerajaan juga boleh diperbaiki jika kerajaan itu kuat dan stabil.
“Tapi sukar bagi mana-mana kerajaan untuk memperbaiki diri dalam keadaan politik yang tidak menentu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mini Dewan Taman Saujana, di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah turut merasmikan Mini Dewan Kampung Mumpait dan Mini Dewan Kampung Minansalu pada hari yang sama.
Beliau melahirkan rasa syukur atas siapnya Mini Dewan Taman Saujana sepenuhnya yang kini boleh digunakan sebagai tempat pertemuan penduduk serta penganjuran pelbagai program dan aktiviti komuniti.
“Tahniah kepada semua pihak yang memastikan dewan ini siap dengan baik. Terbinanya dewan ini menjadi simbol keutuhan persahabatan dan kerjasama antara masyarakat dan pemimpin.
“Kita mampu menyediakan kemudahan seperti ini kerana adanya kerajaan yang stabil. Kestabilan inilah yang memberi kesempatan kepada pemimpin untuk mengurus ekonomi negeri dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurut beliau, kestabilan politik juga akan membantu meningkatkan hasil pendapatan negeri, sekaligus memberi ruang lebih luas kepada kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada pembangunan, bukan sekadar mengurus politik.






