Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kes Viral Isi Minyak Tanpa Bayar, Suspek Lelaki Berjaya Diberkas – Sabah News

TAWAU: Tindakan pantas sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes penipuan baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi, anggota dari MPV telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah kenderaan jenis berada dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah premis dobi di kawasan bandar.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima maklumat anggota MPV bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah kereta Toyota berada di lokasi dimaklumkan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki berada dalam kenderaan tersebut dan hasil semakan ke atas individu tersebut mendapati kenderaan yang digunakan suspek terbabit dalam satu laporan polis yang masih dalam siasatan berkaitan kes penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, suspek berusia 38 tahun itu kemudian ditahan manakala kenderaan yang digunakannya turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan, mendapati suspek terlibat dalam kejadian mengisi minyak kenderaan tanpa membuat sebarang bayaran di beberapa buah stesen minyak sekitar bandar Tawau sebelum bertindak meninggalkan premis terbabit.

“Perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha stesen minyak,” jelasnya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang pengambilan dadah.

ACP Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat agar terus bekerjasama dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

LEAVE A RESPONSE