Read Time:2 Minute, 7 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan mengawal, menyimpan dan menjaga gaharu secara haram tanpa membayar royalti hasil hutan.
Azrizal Aziz, 44, dibebaskan dan dilepaskan oleh Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah turut memerintahkan semua barang kes yang dirampas dipulangkan kepada pemilik yang sah serta deposit ikat jamin dikembalikan.
Amir membuat keputusan tersebut selepas dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa surat representasi telah diterima dan Azrizal telah ditawarkan kompaun berjumlah RM4,000 yang perlu dilunaskan sebelum tertuduh boleh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Pihak guaman Azrizal memaklumkan bahawa denda tersebut telah dijelaskan pada 17 Januari lalu dan memohon agar Azrizal dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan. Pasukan guaman turut memohon supaya semua barang kes yang dirampas dipulangkan serta wang ikat jamin dikembalikan.
Bagi pertuduhan pertama, Azrizal didakwa tanpa kuasa yang sah atau hak di sisi undang-undang telah mengawal hasil hutan iaitu kayu gaharu yang mana royalti perlu dibayar berkenaan dengannya belum dibuat, pada 7 Disember 2023, kira-kira jam 7.30 malam, dengan menggunakan sebuah kenderaan di sebuah premis cuci kereta di Jalan Telipok–Tuaran.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan serupa dengan menyimpan kayu gaharu tersebut di dalam kenderaan yang sama pada masa dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Azrizal turut didakwa mempunyai jagaan terhadap kayu gaharu tersebut di dalam kenderaan yang sama pada masa dan tempat yang sama.
Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2)(b) enakmen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebagai tambahan kepada apa-apa penalti yang dikenakan bagi kesalahan hutan, di bawah Seksyen 34(d) Enakmen Hutan 1968, mahkamah yang mensabitkan boleh memerintahkan bahawa jika mana-mana hasil hutan telah dipotong, dikumpul, diubah jadi, ditebang atau dipindahkan dengan melanggar enakmen berkenaan, pesalah hendaklah membayar kepada Kerajaan Negeri fi, royalti dan bayaran lain yang sepatutnya dibayar.
Untuk rekod, pada bulan Jun 2024, Azrizal mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mahkamah membebaskan Azrizal dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 serta dua orang penjamin bagi semua pertuduhan.
Sementara itu, seorang rakyat Filipina, Fahril Muhamad, yang didakwa bersamanya, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang sama.
Fahril didenda sejumlah RM40,000 atau 20 bulan penjara bagi kesemua pertuduhan. Mahkamah turut memerintahkan Fahril membayar royalti sebanyak RM1,900 kepada kerajaan atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.
Selepas menjalani hukuman penjara, Fahril diperintahkan supaya dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.






