Read Time:1 Minute, 39 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang ahli politik yang berdepan empat pertuduhan mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Negeri 2021 bakal mengetahui nasibnya pada 12 Januari ini.
Tarikh keputusan itu ditetapkan selepas tamat peringkat pembelaan bagi Phillip Among, 53, yang menjalani perbicaraan atas pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Phillip didakwa mencabul peserta Unduk Ngadau berkenaan pada 19 Mei 2021, masing-masing pada jam 2 petang, 3.30 petang, 9.45 malam dan 10 malam.
Kesemua kejadian didakwa berlaku di beberapa lokasi berasingan, termasuk tangga berhampiran Ever Best Photo di Asia City, Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City, di dalam sebuah kenderaan yang sedang bergerak ketika dalam perjalanan dari sebuah lokasi makan malam ke pejabat lama di bandar ini, serta sebuah pejabat di Metro Town, di sini.
Semasa kejadian, tertuduh merupakan ketua teknikal pertandingan Unduk Ngadau 2021.
Phillip, yang juga pernah memegang jawatan Penyelaras Parlimen Sabah Star Bahagian Putatan, digantung daripada jawatannya selepas dua laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 10 Jun 2021, manakala perbicaraan bermula pada 12 April 2022. Pada 12 Disember 2024, mahkamah memerintahkan Phillip membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi, manakala dua saksi pembelaan memberi keterangan di hadapan Marilyn Kelvin.
Untuk rekod, pada 19 Disember 2025, Phillip telah dihukum penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi satu lagi pertuduhan mencabul seorang remaja dalam kes berasingan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus selepas mahkamah mendapati tertuduh bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun pada 17 April 2021, jam 11 malam, di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Phillip untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.






