Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kes amang seksual: Penjawat awam dipenjara 11 tahun, 1 sebat

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang staf Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, empat tahun lalu.

Sharif Hardi Roman Sh. Miasin, 37, didapati bersalah melakukan kesalahan itu pada 4 Januari 2022, jam 4.40 petang, di dalam tandas VVIP, Block B, JPN di sini.

Tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus turut memerintahkan Sharif Hardi menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan di bawah Seksyen 26 SOACA dan kemudiannya diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun mengikut Seksyen 27 akta yang sama, selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Semasa menjatuhkan hukuman, Elsie menyatakan bahawa tertuduh telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai penjawat awam di JPN untuk mendekati mangsa yang ketika itu datang jauh dari Tawau selepas tertuduh menawarkan bantuan untuk mendapatkan dokumen.

Tambahnya, tertuduh kemudian memperdaya mangsa, yang ketika itu berusia 15 tahun, ke dalam tandas dan melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.

Elsie berkata mahkamah telah mengambil kira kepentingan awam, tahap keseriusan kesalahan serta bukti kukuh yang memenuhi semua elemen di bawah Seksyen 14(d) SOACA.

Sharif Hardi diperintahkan menjalani hukuman bermula hari ini, namun mahkamah membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Semasa rayuan, peguam Datuk Seri Rakhbir Singh yang mewakili Sharif Hardi meminta hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan hadir ke mahkamah pada setiap prosiding bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan jenayah yang dilakukan, di mana tertuduh telah melakukan perbuatan keji terhadap mangsa.

Beliau berkata, kejadian itu telah meninggalkan trauma mendalam kepada mangsa dan akan kekal menjadi episod hitam sepanjang hidupnya.

Nurul Shafeerah turut memaklumkan bahawa kes tersebut telah melalui perbicaraan penuh dengan tujuh orang saksi dipanggil memberi keterangan, yang secara tidak langsung melibatkan masa dan sumber semua pihak.

“Hukuman berat perlu dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta amaran kepada orang lain bahawa mana-mana individu yang melakukan perbuatan keji seperti ini akan berdepan akibatnya.

Mahkamah bertanggungjawab memastikan hukuman yang dijatuhkan menjadi pencegahan kepada mereka yang berniat melakukan kesalahan serupa, terutama apabila kes seumpama ini semakin meningkat,” katanya.

Sharif Hardi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 14 Januari 2022.

LEAVE A RESPONSE