Read Time:1 Minute, 48 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang guru tahfiz dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh bersalah melakukan kesalahan itu pada 21 Februari 2024, kira-kira jam 12 tengah hari, di sebuah rumah di dalam daerah Penampang.
Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Sofea S. Sawayan telah memanggil tujuh saksi, manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh sendiri.
Dalam rayuan hukuman, peguam Muhamad Amirul Amin yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh merupakan pesalah pertama, telah menyesali perbuatannya serta masih berkhidmat sebagai guru kerajaan.
Beliau turut berhujah bahawa tertuduh, yang kini menetap di Melaka, mempunyai rekod perkhidmatan baik dan berjaya membimbing pelajarnya menjadi cemerlang dan menerima pelbagai anugerah.
Amirul juga memaklumkan bahawa tertuduh belum berkahwin dan menanggung ibu bapanya yang sudah lanjut usia.
TPR Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, memohon hukuman berat berbentuk pencegahan memandangkan kesalahan ini merupakan perbuatan keji melibatkan penderaan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki oleh gurunya sendiri.
Beliau menyatakan bahawa tertuduh melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap pelajar lelakinya yang masih muda, walaupun mengetahui terdapat pelajar lain di rumah sewa berkenaan.
“Pada masa kejadian, tertuduh masih mengajar mangsa mata pelajaran agama walaupun tidak lagi berkhidmat di sekolah mangsa. Teruduh berani melakukan perbuatan tersebut walaupun terdapat kanak-kanak lain di rumah itu, yang juga merupakan pelajarnya. Keadaan ini menunjukkan perbuatan itu dilakukan secara terancang dan tanpa rasa takut terhadap akibatnya,” katanya.
Menurut Fazriel, selepas kejadian tertuduh mencuba mengawal mangsa dengan mengarahkan mangsa supaya kerap menghubunginya.
“Selain itu, bahasa tubuh dan reaksi emosi mangsa semasa memberi keterangan, khususnya ketika diminta mengenal pasti tertuduh, jelas menunjukkan tahap trauma yang dialaminya. Mangsa dilihat menangis dan terpaksa menenangkan diri selepas mengenal pasti tertuduh melalui ‘live link’,” katanya.






