Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU : Kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa terus menjadi faktor utama kejayaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan pendidikan anak-anak adalah hasil usaha bersama semua pihak.
Guru Besar SK Rampayan Ropinah Moktar berkata, peranan ibu bapa diiktiraf sebagai penyokong moral dan rakan strategik kepada pihak sekolah dalam membentuk kecemerlangan murid, bukan sahaja dari aspek akademik malah sahsiah dan kepimpinan.
Katanya, sokongan berterusan daripada ibu bapa dalam memastikan kehadiran, disiplin serta motivasi anak-anak di rumah telah memberi impak positif terhadap pencapaian murid.

“Kerjasama yang kukuh ini selari dengan aspirasi sekolah untuk melahirkan murid yang seimbang dan berdaya saing.
“Pihak sekolah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para ibu bapa atas komitmen dan kepercayaan yang diberikan, serta kesediaan untuk sentiasa bekerjasama dalam menjayakan pelbagai program akademik dan pembangunan sahsiah murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi SK Rampayan Menggatal di sini baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar Ahsim Jamat
Ropinah berkata, majlis yang diadakan itu bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada murid yang cemerlang, malah mengukuhkan lagi hubungan antara sekolah dan komuniti setempat.
“Melalui kerjasama berterusan ini, SK Rampayan yakin dapat terus melahirkan generasi murid yang cemerlang, beradab dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, murid Nur Hidayah Ag Mohd Ali Hasfarie dianugerahkan Tokoh Murid SK Rampayan. – SABAH MEDIA






