Read Time:1 Minute, 20 Second
TUARAN: Sokongan padu ibu bapa, penjaga dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tambalang, selain dedikasi guru dan komitmen pihak sekolah.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Muhamad Zaini Jali berkata, kejayaan murid bukanlah hasil usaha sekolah semata-mata, sebaliknya terhasil daripada kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan moral dan dorongan berterusan.

Katanya, pengorbanan tanpa jemu semua pihak terlibat juga penting dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.
“Ibu bapa dan PIBG memainkan peranan penting sebagai rakan strategik sekolah. Sokongan padu mereka dalam program akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang dicapai hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Murid Tahun 6, Prasekolah dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SK Tambalang Sesi 2025/2026 di sini baru-baru ini.
Terdahulu, beliau hadir mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Zaini berkata, PIBG turut dilihat aktif membantu pihak sekolah melalui penganjuran program sokongan pembelajaran, kebajikan murid serta penglibatan dalam aktiviti sekolah yang mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif dan positif.

Dalam majlis tersebut, penghargaan khas turut diberikan kepada ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberi kepercayaan kepada pihak sekolah serta komited dalam membentuk sahsiah dan disiplin anak-anak, sejajar dengan matlamat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
Beliau berkata, kejayaan murid yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik juga menjadi bukti bahawa gandingan erat antara sekolah, ibu bapa dan PIBG mampu melahirkan pelajar cemerlang, bukan sahaja dari segi akademik, malah dalam pembentukan jati diri dan nilai murni.- SABAH MEDIA






