Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerjasama pasca pilihan raya penting untuk kestabilan pentadbiran – Joniston

Read Time:1 Minute, 33 Second

KIULU: Kedinamikan politik selepas pilihan raya perlu diurus dengan kematangan serta berpaksikan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri bagi memastikan pentadbiran kerajaan dapat berfungsi secara berkesan, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, kerjasama yang dibentuk pasca pilihan raya merupakan langkah strategik bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan mentadbir dengan stabil serta melaksanakan perancangan pembangunan yang telah dirangka.

“Keutamaan selepas pilihan raya ialah memastikan kestabilan pentadbiran. Tanpa asas yang stabil, pelaksanaan dasar dan pembangunan tidak dapat bergerak seperti yang dirancang,” kata Joniston yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Joniston, GRS kekal dengan pendirian dan hala tuju sendiri, namun bersikap pragmatik dalam membuat keputusan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri.

“Pendekatan ini berpaksikan keperluan memastikan kerajaan berfungsi, perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan isu-isu setempat dapat ditangani secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, kematangan politik perlu diterjemahkan melalui keupayaan mengurus perbezaan secara konstruktif, tanpa menjejaskan kepentingan bersama atau kestabilan sosial.

Joniston berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2026 di Dewan Terbuka Pekan Kiulu pada Ahad, yang turut dihadiri lebih daripada 1,000 pemimpin masyarakat serta wakil pelbagai agama dan denominasi.

Dalam konteks itu, ADUN Kiulu tersebut menegaskan bahawa toleransi kaum dan agama yang diamalkan di Sabah merupakan asas penting kepada keharmonian serta kestabilan jangka panjang negeri.

“Keupayaan pemimpin dan masyarakat untuk duduk bersama merentasi perbezaan kepercayaan, termasuk dalam sambutan perayaan keagamaan, mencerminkan kekuatan dan kematangan kita sebagai sebuah negeri,” katanya.

Menurutnya, kestabilan politik memberi kesan langsung kepada pembangunan di kawasan seperti Kiulu, termasuk kesinambungan projek, penyaluran peruntukan serta penyelesaian isu rakyat secara lebih tersusun.

“Rakyat mahu melihat hasil yang nyata dalam kehidupan seharian, dan itu hanya dapat dicapai melalui pentadbiran yang stabil serta kerjasama semua pihak,” katanya.

Joniston menyeru rakyat Kiulu agar terus memelihara semangat kesatuan dan tidak membiarkan perbezaan pandangan atau kepercayaan memecahkan keharmonian komuniti menjelang Tahun Baharu.

LEAVE A RESPONSE