KOTA KINABALU: Kerjasama yang kukuh dalam kalangan warga kementerian kerajaan amat penting bagi memastikan setiap dasar dan program dapat dilaksanakan secara berkesan demi manfaat rakyat.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata hubungan kerja yang baik antara pegawai dan kakitangan menjadi asas penting dalam memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) di sini, pada Khamis.
Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk berkumpul di luar suasana kerja rasmi sekali gus mengeratkan hubungan sesama warga kementerian.
“Kerjasama dan semangat berpasukan dalam kementerian merupakan antara faktor utama yang membolehkan dasar serta program kerajaan dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan KWKKR atas komitmen serta dedikasi mereka dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kementerian.
Majlis berkenaan turut menjadi platform bagi warga kementerian berinteraksi dalam suasana lebih santai sambil memperkukuh hubungan kerja dalam organisasi.






