Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerjasama Kinara–Dayang perkukuh peranan Sabah dalam industri minyak dan gas


Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kinara Energy Sdn Bhd dan Dayang Enterprise Sdn Bhd menjadi langkah penting dalam memperkukuh peranan Sabah ke arah pemilikan dan kepimpinan lebih besar dalam sektor minyak dan gas.

Kerjasama itu mencerminkan hala tuju strategik negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Pelan Hala Tuju Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, berkata kerjasama berkenaan menandakan perubahan penting dalam landskap industri minyak dan gas negeri.

“MOA ini menandakan peralihan daripada sekadar penyertaan kepada pemilikan, daripada peranan sokongan kepada kepimpinan, serta daripada kebocoran nilai kepada pengekalan nilai dalam negeri.

“Kerjasama ini mesti diterjemahkan kepada kontrak sebenar, projek sebenar dan peluang sebenar untuk rakyat Sabah. Kejayaannya bukan sekadar kejayaan korporat, tetapi kejayaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pementeraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kinara Energy Sdn Bhd dan Dayang Enterprise Sdn Bhd di sini, hari ini.

Masidi turut menegaskan Sabah tidak lagi boleh dilihat sebagai pemerhati pasif terhadap sumbernya sendiri, sebaliknya perlu diberikan akses kepada kontrak teras bernilai tinggi oleh PETRONAS dan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC).

“Jangan hanya berikan kerja pinggiran, sebaliknya beri peluang untuk berada di meja rundingan,” katanya sambil menyifatkan kerjasama Kinara–Dayang sebagai model gabungan pemilikan tempatan dengan pelaksanaan bertaraf global.

Di bawah Pelan Hala Tuju OGSE, Sabah menyasarkan 60 peratus penyertaan tempatan dalam kontrak OGSE menjelang 2026, dengan syarikat tempatan mencatat peningkatan ketara dalam jumlah kontrak diperoleh sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kinara Energy, Sylvester Linus, berkata kerjasama tersebut menjadi platform strategik bagi menghasilkan impak nyata kepada Sabah.

“Kerjasama ini menggabungkan kekuatan tempatan Kinara dengan keupayaan teknikal terbukti Dayang. Ia bertujuan membina penyelesaian berprestasi tinggi berasaskan Sabah yang mampu bersaing, melaksana dan memimpin,” katanya.

Bagi Dayang Enterprise, Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk James Ling Suk Kiong berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam membangunkan kapasiti tempatan tanpa menjejaskan standard teknikal.

“Kami melihat potensi besar dalam kerjasama ini. Dengan menggabungkan kepakaran teknikal kami dengan keupayaan tempatan, kami berhasrat menyampaikan penyelesaian berkualiti tinggi, selamat dan cekap, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem minyak dan gas Sabah,” katanya.

Kerjasama itu dijangka memberi impak ekonomi lebih luas termasuk meningkatkan pengekalan kekayaan dalam negeri, mempercepat pemindahan teknologi dan pengetahuan, serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang Sabah.

Selain itu, ia turut menyokong aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab serantau bagi perkhidmatan minyak dan gas bernilai tinggi.

Kinara Energy, syarikat berlesen berpangkalan di Sabah, memberi tumpuan kepada kejuruteraan, pembangunan projek dan kerjasama strategik, manakala Dayang Enterprise yang beribu pejabat di Miri, Sarawak mempunyai lebih empat dekad pengalaman dalam penyelenggaraan luar pesisir, fabrikasi dan perkhidmatan sokongan.

Majlis itu turut dihadiri pegawai kanan kerajaan, pemain industri serta wakil daripada SMJ Energy, PETRONAS dan pemegang taruh utama sektor tenaga.

LEAVE A RESPONSE