Kerja baik pulih Jalan BDC dilaksana sehari selepas aduan, bukti kecekapan sistem — Robert Chong
Read Time:1 Minute, 9 Second
SANDAKAN : Kerja-kerja membaiki jalan rosak di sepanjang Jalan BDC giat dijalankan hanya sehari selepas masalah itu dilaporkan secara rasmi, menandakan tindak balas pantas pihak berkuasa dalam menangani isu infrastruktur awam.
Ahli Majlis Perbandaran Sandakan Robert Chong Thien Ming, berkata tindakan segera itu menunjukkan keberkesanan sistem penyampaian sedia ada, hasil kerjasama rapat antara pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Chong memaklumkan beliau melaporkan masalah berkenaan kepada kontraktor dilantik pada Isnin, dan kerja pembaikan telah dimulakan pada Selasa.
“Ini menunjukkan kecekapan sistem sedia ada dalam menangani masalah kerosakan infrastruktur awam. Ia juga membuktikan bahawa aduan masyarakat tidak diabaikan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak kerja hari ini.
Menurut beliau yang juga Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited melaksanakan projek baik pulih jalan raya di seluruh daerah, termasuk kawasan perumahan, zon komersial serta laluan utama yang digunakan penduduk setempat.
Chong turut menasihati semua pihak agar tidak mempolitikkan isu keadaan jalan raya di Sandakan. Katanya, kerja penyelenggaraan dan pembaikan dijalankan secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan membuahkan hasil yang nyata.
“Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang disebarkan pihak pembangkang semata-mata untuk meraih publisiti menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17,” katanya lagi.
Beliau memberi jaminan bahawa GRS akan terus memantau keadaan jalan di seluruh Sandakan bagi memastikan setiap projek pembaikan disiapkan mengikut piawaian demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. – SABAH MEDIA






