Read Time:2 Minute, 15 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh kemungkinan peningkatan kos menunaikan ibadah haji tahun ini bagi memastikan kebajikan jemaah Malaysia terus terpelihara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri sebelum ini bagi meneliti langkah terbaik menghadapi sebarang perubahan termasuk kenaikan kos.
Beliau berkata, pihaknya sudah meminta semua agensi berkaitan mengambil pendekatan proaktif termasuk menjalankan kajian awal serta membuat persiapan rapi.
“Alhamdulillah di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita sudah meminta semua agensi mengambil pendekatan membuat kajian dan persiapan sebaiknya termasuk melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Sebenarnya sebelum ini lagi TH sudah menubuhkan pasukan petugas khas yang membincangkan perkara ini dan mereka juga sudah mempunyai perancangan tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Simfoni Ramadan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad.
Dr Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kenaikan kos menunaikan ibadah haji berikutan ketegangan konflik di rantau Teluk.
Beliau berkata, beberapa perbincangan lanjut akan diteruskan pada minggu hadapan bagi memperhalusi langkah yang perlu diambil termasuk pelan kontingensi.
Menurutnya, TH mempunyai pasukan yang mantap dan berpengalaman untuk menangani sebarang perubahan termasuk berkaitan kos pengurusan haji.
“Apa yang kita mahu maklumkan kepada semua, insyaAllah TH mempunyai pasukan yang mampu menangani dan mendepani apa-apa perubahan yang berlaku.
“Kita akan melihat bagaimana untuk menangani peningkatan kos ini sebaiknya agar ia memberi manfaat dan pada masa sama menjaga kebajikan semua jemaah haji kita,” katanya.
Mengulas mengenai penilaian risiko keselamatan jemaah, Dr Zulkifli berkata perkara itu sentiasa dipantau dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Malaysia serta autoriti di Arab Saudi.
Katanya, setiap perkembangan akan diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji negara sentiasa terjamin.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, TH sudah memulakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi memastikan kos penerbangan haji tidak meningkat secara mendadak.
Menurutnya, rundingan itu membabitkan beberapa syarikat penerbangan termasuk syarikat tempatan dan luar negara terutamanya dari Arab Saudi.
“Keputusan mengenai kos penerbangan haji hanya akan diumumkan oleh pihak Tabung Haji atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selepas rundingan selesai.
“Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan konflik di rantau Teluk kerana sekiranya krisis berpanjangan, ia boleh memberi risiko kepada rantaian bekalan global termasuk kos penerbangan mengerjakan ibadah haji.
“Saya sekadar hendak memberi sedikit gambaran kemungkinan jika peperangan di Teluk itu menjadi krisis yang berpanjangan dan itulah risiko yang bakal kita hadapi tetapi kita juga bersedia dengan langkah bagaimana kita menanganinya,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH






