Read Time:1 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang usaha pemindahan teknologi dari luar negara, khususnya dari China, sebagai langkah strategik untuk memperkasakan pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik yang mampu membawa masuk teknologi canggih serta kepakaran luar demi meningkatkan keupayaan tempatan.
Beliau berkata, pemindahan teknologi merupakan elemen penting dalam mempercepatkan pembangunan negeri, khususnya dalam menghadapi cabaran global dan kemajuan pesat teknologi masa kini.
“Kerajaan negeri melihat pemindahan teknologi sebagai satu peluang besar untuk meningkatkan keupayaan modal insan tempatan serta memperkukuh ekosistem inovasi di Sabah.
“Hubungan erat Sabah-China Chamber of Commerce dengan pihak industri di China wajar dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Sabah-China Chamber of Commerce yang melibatkan seramai 14 orang delegasi, diketuai oleh Presidennya, Datuk Frankie Liew, bersama Timbalan Presiden, Brett Chua.
James berkata, kementeriannya turut menyambut baik inisiatif yang melibatkan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selain pembangunan kepakaran tempatan dan latihan kemahiran, terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Sabah-China Chamber of Commerce, Brett Chua memaklumkan bahawa China mempunyai pelbagai teknologi berkaitan latihan TVET yang berpotensi untuk dipindahkan ke Sabah.
Namun, katanya, Sabah ketika ini masih memerlukan platform yang sesuai bagi melaksanakan teknologi tersebut secara menyeluruh.
Beliau menyifatkan lawatan tersebut sebagai satu permulaan penting ke arah merealisasikan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan sektor swasta dalam usaha membawa masuk teknologi dari China ke Sabah.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Tuan Hassan Mahali, serta Setiausaha Politik kepada Menteri, Tuan Justinus Jalang.






