Read Time:1 Minute, 36 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bantuan bagi memastikan pelajar negeri ini tidak tercicir dalam pelajaran akibat kekangan kewangan dan kemudahan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Md. Hanafiah Md. Kassim berkata, antara inisiatif yang telah dijalankan termasuk bantuan tiket pengangkutan bagi pelajar tempatan dan Semenanjung, pemberian komputer riba kepada pelajar yang memerlukan, serta penyelenggaraan bangunan sekolah di kawasan luar bandar.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu sudah berjalan hampir lima tahun dan akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi menambah baik keberkesanannya.
“Kita mahu memastikan bantuan ini berterusan supaya pelajar kita tidak terdedah kepada risiko keselamatan siber dan terus mendapat kemudahan yang sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan pendidikan negeri Sabah di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.
Hanafiah berkata, antara tumpuan utama kerajaan negeri adalah memastikan kelangsungan bantuan pendidikan ini sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak muda Sabah.
“Ini pelaburan penting untuk generasi muda kita, mereka inilah yang akan memimpin negeri ini pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 16 program pendidikan telah dilaksanakan di bawah pelbagai skim termasuk Bantuan Komputer Riba, Balkis (Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah), dan Budi — dengan jumlah peruntukan tertinggi diterima oleh program Budi yang melebihi RM20 juta.
Katanya, meskipun peruntukan kewangan agak terhad, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri dalam membantu pelajar Sabah.
“Kita tidak boleh tunggu, sebab ini untuk anak-anak Sabah. Kerajaan negeri akan terus membantu walaupun bajet terhad,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kadar pengangguran dan jumlah pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi masih tinggi akibat faktor kewangan.
Oleh itu, usaha menambah baik program penajaan dan biasiswa akan terus diperkasakan.
“Kita tidak boleh biarkan mereka berhenti setakat itu sahaja. Kita sedang menilai cara terbaik untuk meningkatkan bantuan dan tajaan pendidikan, supaya lebih ramai pelajar Sabah dapat meneruskan pengajian,” katanya. – SABAH MEDIA