Kerajaan Sabah komited sokong pembangunan bandaraya Kota Kinabalu selari agenda hala tuju SMJ
Read Time:2 Minute, 6 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memberi sokongan penuh terhadap hala tuju pembangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang digerakkan secara strategik, tersusun dan berwawasan, selari dengan kerangka pembangunan negeri Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan pembangunan bandar raya yang menekankan tadbir urus cekap, integriti pentadbiran, keseimbangan pembangunan serta kesejahteraan rakyat adalah selari sepenuhnya dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, perkhidmatan awam merupakan rakan strategik utama kepada kepimpinan kerajaan yang bukan sekadar pelaksana dasar, sebaliknya merupakan tulang belakang kepada kestabilan pentadbiran, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan.
“Dalam konteks ini, DBKK memainkan peranan yang amat signifikan sebagai pihak berkuasa tempatan utama yang berada di barisan hadapan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

“Keupayaan DBKK untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan di peringkat bandar raya menjadikan institusi ini rakan strategik
penting dalam merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya, khususnya dalam memastikan pembangunan bandar yang terancang, inklusif dan mampan.
“Kota Kinabalu memegang kedudukan yang amat strategik dalam kerangka pembangunan Sabah secara keseluruhan. Apa yang berlaku di bandar raya ini memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur, pengalaman pelawat, kualiti hidup rakyat serta imej Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Bandaraya Kota Kinabalu ke-26 di perkarangan ibu pejabat DBKK di sini pada Isnin.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Joniston yang juga Menteri Bertanggungjawab kepada DBKK berkata, pelaksanaan SMJ adalah berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat, dan pembangunan jaringan infrastruktur serta kelestarian hijau.
Katanya, ia adalah selari dengan visi DBKK ke arah pembangunan bandar raya yang berdaya saing, inklusif dan mampan.
Dalam pada itu, Joniston berkata, perkhidmatan awam merupakan rakan strategik utama kepada kepimpinan kerajaan dan menjadi tulang belakang kepada kestabilan pentadbiran serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kerajaan Negeri, katanya, akan terus menyokong usaha DBKK melalui penyelarasan dasar, sokongan institusi, kerjasama antara agensi, serta penglibatan sektor swasta dan komuniti bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak nyata kepada rakyat.
Beliau yakin dengan kesepaduan hala tuju antara SMJ dan DBKK, Kota Kinabalu akan terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang berdaya tahan, progresif dan mampu menjadi model pengurusan bandar yang unggul di Sabah. – SABAH MEDIA






